PUTRAJAYA 1 Feb. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pasukan Pengawal Pantai Jepun (JCG) akan bekerjasama bagi meningkatkan kemahiran penguat kuasa dalam aspek keselamatan maritim.
AHMAD PUZI AB. KAHAR
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, perkongsian ilmu dan latihan khususnya berkaitan penguatkuasaan dan keselamatan di laut membolehkan semua negara serantau meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta operasi di laut.
“Usaha ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan bersama-sama agensi penguat kuasa maritim serantau mahupun negara-negara ASEAN.
“Pada masa sama, usaha ini juga penting bagi negara ini untuk saling bekerjasama, mengenal pasti dan menyelesaikan kelemahan penguatkuasaan masing-masing termasuk perkongsian maklumat, seterusnya mempercepatkan pelaksanaan perjanjian sedia ada bagi bantuan dan kerjasama dalam usaha membanteras jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat enam pegawai JCG yang diketuai Pengarah Penyelidikan dan Latihan JCG, Kapten Atsushi Tohyama di pejabatnya di sini.
Ahmad Puzi berkata, sebelum ini, pihaknya telah menghantar dua pegawai bertaraf profesional ke Jepun di bawah program Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bagi mempelajari teknik-teknik serta pembelajaran yang diguna pakai oleh JCG dalam menguatkuasakan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat di laut.
Dalam pada itu Ahmad Puzi berkata, JCG turut menyatakan kesediaan bagi meluaskan kerjasama dengan Maritim Malaysia pada masa hadapan.
Mengulas lanjut katanya, dalam pertemuan itu, pihak JCG turut mengadakan penerangan berkaitan program yang dianjurkannya iaitu Ijazah Sarjana Keselamatan Maritim dan Polisi Keselamatan kepada Seksyen Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Maritim Malaysia serta calon-calon yang memohon untuk menyertainya.