KOTA BHARU 1 Feb. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan penerbangan ihsan bagi menghantar seorang bayi perempuan yang menghidap penyakit jantung berlubang dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini ke Hospital Serdang, Selangor.
Bayi tersebut, Nur Amni Syahirah Abdullah, 3 bulan, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 10 pagi dengan menaiki helikopter AGUSTA dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang kira-kira 90 minit kemudian.
Penerbangan dikendalikan juruterbang Leftenan Komander Maritim, Mohd. Ikmal Ridzuan dibantu pembantu juruterbang, Leftenan Maritim Mohd. Azrol Saidin dan Kuarter Master Udara Maritim, Rohaizad Ramli itu turut diiringi pegawai perubatan HRPZ II iaitu Dr. Ang Siew Chen dan Norfazilah Nawi.
Sementara itu, ibu kepada pesakit, Nur Syafiqah Seman, 19, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan HRPZ II, Maritim Malaysia serta semua pihak yang menjayakan penerbangan ihsan tersebut.
Menurut Nur Syafiqah, pihak hospital mengesyaki bayi sulungnya itu mengalami masalah jantung ketika dalam kandungan lagi namun selepas selamat dilahirkan, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang simptom kepada penyakit itu.
Sehubungan itu, Nur Amni Syahirah perlu menjalani satu pembedahan yang hanya boleh dilakukan di Hospital Serdang.
“Ketika usianya 30 hari, saya melakukan pemeriksaan rutin dan doktor mendapati anak saya batuk-batuk. Selepas pemeriksaan lanjut, dia disahkan mengidap penyakit jantung berlubang dan terus ditahan di Wad Penjagaan Rapi HRPZ II.
“Semoga selepas pembedahan di Hospital Serdang, anak saya ini kembali pulih dan dapat membesar dengan sihat seperti bayi lain,” katanya.