KUALA LUMPUR 30 Jan. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan perairan dan sempadan selepas negara menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang dijangka diadakan pada Februari ini.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, langkah itu berikutan peningkatan pelbagai aktiviti berkaitan maritim terutama perdagangan, pelancongan dan perikanan selepas negara menyertai perjanjian itu.
Dalam masa sama katanya, Maritim Malaysia turut melakukan beberapa penambahan aset seperti kapal dan bot peronda serta menempatkan beberapa buah radar di kawasan strategik.
“Rekod sebelum ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 70,000 daripada 66,000 buah kapal menggunakan perairan Selat Melaka yang memerlukan pengawasan keselamatan yang ketat.
“Selain perolehan aset, kita akan menempatkan dua buah radar di Pulau Jarak dan Pulau Perak sebagai tambahan bagi mengukuhkan lagi pemantauan keselamatan daripada sebarang ancaman termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS),” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Media bersama Maritim Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Madya Maritim Datuk Che Hassan Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Samsuni Mohd. Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar.
Dalam pada itu, Ahmad Puzi berkata, pihaknya berjaya merampas dan mengenakan denda hampir RM228 juta terhadap kesalahan yang dilakukan oleh nelayan warga asing di perairan negara ini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 829 bot yang dirampas telah dijadikan tukun tiruan di perairan Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan hasil nelayan tempatan.
“Di samping itu, kita berjaya menyelamatkan harta-benda akibat daripada kemusnahan bencana seperti bot, feri dan pelbagai peralatan di perairan dengan jumlah tidak kurang RM550 juta,” ujarnya.